Hidup ini penuh dengan pencarian. Engkau dan aku, biarpun warna kulit berbeza, tinggi tak sama, latar belakang tidak serupa, hati berlainan, tapi kita punya satu pencarian yang sama. Setiap dari kita mencari sebuah cinta suci. Walaupun pernah semasa kecil dulu kita menafikannya, tapi hati ini tercari-cari erti sebuah percintaan. Benarkah ia semanis madu seperti yang diperkatakan orang atau sepahit hempedu apabila dimiliki.
Tapi, perpisahan itu selalu terjadi pada insan yang sedang bercinta. Tersekat nafas, terhenti jantung apabila ia terjadi. Perpisahan itu sungguh menyedihkan kita tapi segalanya ditangan takdir. Sebuah cinta dan harapan, kini bercerai, meretakkan hati, menyeksa jiwa kita. Mengapa ia harus terjadi, adakah cuma sebuah mimpi ngeri di malam hari. Mengapa kita terus menanti cinta itu walaupun kita tahu ia tidak akan kembali membawa serpihan hati yang kecewa. Kita telah lakukan segalanya, mengorbankan semuanya, namum, cinta yang dicari tidak seindah cinta yang dicurahkan.
Tapi, selagi ada cinta di hati ini, selagi ada rindu yang membara, selagi hati ini masih kental, selagi ada air mata yang mengalir, kita pertaruhkan segalanya untuk cinta kita. Cuma, jangan biarkan diri ini tawar hati, sampai cinta tiada lagi. Jika cinta sudah tiada, semarak rindu hilang sinarnya, kita bisa walau terseksa melakarkan langkah, meninggalkan segala kenangan semalam walau seakan baru saja berlalu Biar impian tinggal impian.
Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah, dan kemudian kita dikecewakan, sebelum kita berjumpa dengan insan yang betul, supaya apabila kita bertemu dengan orang yang mencintai kita, kita tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah disebalik pemberian tersebut. Jangan biarkan diri terlalu kecewa apabila salah satu pintu kebahagian tertutup kerana pintu yang lain pasti akan terbuka.
Tapi, kita sering kali memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sampai kita tak sedar akan pintu lain yang terbuka. Kadang-kadang, kita tertunggu-tunggu orang membuka pintu kebahagiaan untuk kita. Tapi, tiada siapa yang mempunyai kunci pintu itu. Jangan putus asa, setiap pintu ada kuncinya, dan ada insan yang akan membuka pintu kebahagian yang kita impikan. Itu janji Tuhan pada umatnya, semua insan dilahirkan berpasangan. Cuma cepat dan lambat membezakannya. Jadi jangan mudah putus asa. Bersabar dan terus menunggu.
Namum, firman Tuhan harus sentiasa ingati, sesuatu bangsa tidak akan berubah selagi bangsa itu tidak mengubahkannya sendiri. Kata orang tua, jangan ditunggu bulan jatuh ke riba. Jika kita inginkan bulan, kita seharusnya meneroka bulan itu. Jangan seperti Mat Jenin, apa yang dihajat tidak tercapai, apa yang dimilik tergadai. Seandainya kita sedang bercinta, jangan terlalu meragui ketulusan cinta. Cinta itu cuma akan terbit dari dua hati insan yang suci.
Ia tidak datang sendirian tapi datang bersama keikhlasan, kesabaran, kehormatan dan seribu satu keindahan. Bersama cinta, kita bagai disuntik suatu semangat, seakan baru bangun dari tidur yang lama. Setiap saat begitu bermakna, tidak dapat diungkap oleh perkataan, hanya dapat digambarkan oleh sinar mata. Cinta itu sesuatu yang kita perlukan, jangan sesekali menafikan sesuatu yang azali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan